Persediaan Musim Haji 2026 sudahpun bermula. Ia ditandakan dengan permulaan Kursus Asas Haji yang mengambil tempat pada 3 Oktober hingga 28 Disember 2025. Bermula dari tempoh ini, setiap minggu akan ada kelas ibadah haji diadakan di lokasi-lokasi terpilih. Selain Kursus Asas Haji, Kursus Intensif Haji dan Kursus Khas Haji juga akan diadakan mengikut jadual.
Baca sampai habis untuk maklumat lanjut.

Kursus Asas Haji (KAH) 2026
Untuk peringkat pertama, jemaah haji perlu menjalani Kursus Asas Haji (KAH). Untuk musim 2026, Tabung Haji dah naikkan bilangan modul daripada 10 kepada 13. Ia bermakna jemaah perlukan 13 minggu untuk lengkapkan KAH. Walau bagaimanapun, info-info yang dikongsikan adalah sama seperti modul-modul musim sudah. Mungkin TH ingin biarkan jemaah lebih relaks.
Masjid-masjid terpilih di seluruh negara akan menganjurkan KAH mengikut jadual yang telah ditetapkan. Kelas diadakan pada setiap hujung minggu, selama 2 jam 30 minit bermula 3 Oktober 2025 hingga 28 Disember 2025.
Buat pengetahuan anda, KAH bukan sahaja dibuka untuk bakal haji musim 2026, sesiapa sahaja yang berkelapangan boleh menyertainya sebagai persediaan awal khususnya yang sedang melakukan rayuan mengerjakan haji. Senarai di bawah adalah modul-modul Kursus Asas Haji 2026.
Nota Modul Kursus Asas Haji
- Minggu 01: Sejarah & Pengenalan Tanah Suci Makkah
- Minggu 02: Falsafah dan Penyucian Jiwa, Pengenalan Ringkas Ibadah Haji dan Umrah
- Minggu 03: Rukun Haji: Niat Ihram, Wuquf, dan Tawaf
- Minggu 04: Rukun Haji: Sa’ie, bercukur/bergunting dan tertib pada kebanyakkan rukun
- Minggu 05: Wajib-Wajib Haji: Niat di Muqat, larangan dalam Ihram, dan & Mabit di Muzdalifah
- Minggu 06: Wajib-Wajib Haji: Melontar di Jamrah Kubra 10 Zulhijjah, Mabit di Mina dan melontar pada hari-hari Tasyriq dan Nafar
- Minggu 07: Jenis Haji dan cara-cara mengerjakan Haji
- Minggu 08: Aurat Izin Suami, Taharah, dan Solat
- Minggu 09: Fiqh Wanita dalam Ibadat Haji
- Minggu 10: Ibadah Umrah, Niat Bersyarat, dan Tawaf Wada’
- Minggu 11: Kesihatan dan Haji
- Minggu 12: Pengurusan Haji
Muat turun Jadual Kursus Asas Haji 2026
Kursus Intensif Haji (KIH)
Selepas KAH, bakal jemaah haji musim 2026 perlu hadiri Kursus Intensif Haji (KIH). Ia tak diadakan berminggu-minggu tapi 2 hari sahaja untuk dilengkapkan. KIH diadakan apabila hampir dengan hari berangkat iaitu dalam bulan Rejab ataupun Sya’aban setiap tahun.
Sewaktu KIH, bakal jemaah berpeluang untuk ingati semula apa yang dipelajari sewaktu KAH dan juga melakukan amali secara lebih terperinci bagi memantapkan lagi pemahaman bakal jemaah dalam ibadah haji.
NOTA:Bakal haji yang terpilih perlu memastikan kehadiran KIH mengikut tempat dan masa yang telah ditetapkan oleh TH, sebarang pertanyaan lanjut boleh hadir ke pejabat cawangan TH yang berdekatan.
Kursus Khas Haji (KKH)
Buat jemaah yang mencatatkan skor rendah dalam ujian sewaktu KIH, TH juga adakan Kursus Khas Haji (KKH). Peserta kursus adalah terdiri daripada mereka yang mendapat markah yang rendah dalam ujian kefahaman ibadat KIH dan mereka yang terpilih di saat akhir. Pejabat TH Negeri atau Daerah akan mengeluarkan surat jemputan kepada bakal jemaah haji yang terlibat.
Kursus Khas Haji (KKH) merupakan kursus haji lanjutan yang diadakan selepas Kursus Intensif Haji (KIH). Tempoh kursus mengambil masa selama satu (1) hari yang memberi penekanan terhadap aspek latih tubi praktikal ibadat dalam kelompok kecil dan lebih khusus.
Kursus Perdana Haji (KPH)
Kursus Perdana Haji (KPH) merupakan kursus haji peringkat akhir yang akan diikuti oleh bakal jemaah haji sebelum berangkat ke Tanah Suci. kursus selama dua (2) hari satu (1) malam ini diadakan dalam bulan Syawal di setiap negeri. Kursus ini akan mengumpulkan bakal jemaah haji dari seluruh daerah dalam negeri tersebut.
Penekanan yang diberikan semasa kursus ini lebih kepada praktikal ibadat haji dan dalam kelompok jemaah yang lebih ramai. Ia melibatkan aktiviti tawaf, sa’ie, bermabit dan melontar pada waktu malam. Hanya bakal jemaah haji yang terpilih pada tahun semasa dijemput menghadiri kursus ini oleh Pejabat TH Negeri atau Daerah.
Muat turun Jadual Kursus Perdana Haji (KPH) 1446H/2025M disini.
Sumber: Tabung Haji