Setakat 27 Januari 2025, hampir 50% daripada 31,600 bakal jemaah haji telah memberi maklum balas akan mengejakan haji pada musim 1446H/2025M. Daripada jumlah itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, berkongsi yang kira-kira 27% yang memberi maklum balas adalah daripada golongan B40, 60% daripada M40, dan selebihnya adalah T20.
Buat maklumat anda, pihak Lembaga Tabung Haji dah hantar surat tawaran kepada 31,600 bakal jemaah untuk tahun ini dan mereka boleh menyemaknya secara dalam talian melalui portal THiJAri.
Cara semak tawaran Haji 2025 dan kos musim 1446H diumum Tabung Haji
Dalam hal yang berkaitan, YB Menteri juga memaklumkan yang kerajaan Arab Saudi masih lagi mempertimbangkan permohonan Malaysia untuk diberikan sebanyak 10,000 kuota tambahan ke atas peruntukan sedai ada. Ia bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia muslim mengerjakan haji pada tahun ini.

Hal berkaitan visa Furada dan visa Mujamalah
Selain daripada tawaran mengerjakan haji daripada Tabung Haji sendiri, perlu diambil maklum yang kerajaan Arab Saudi ada mengeluarkan visa khas untuk jemput sesiapa sahaja mengerjakan haji dan ia dinamakan visa Furada ataupun visa Mujamalah.
Berkaitan topik tersebut, Lembaga Tabung Haji (TH) menyarankan bakal haji rakyat Malaysia yang memperolehi Visa Furada atau Visa Mujamalah untuk menggunakan perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang telah dilesenkan oleh TH.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman, menyatakan bahawa sebanyak 37 syarikat PJH yang dilesenkan oleh TH memiliki Lesen Pengendali Pelancongan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Beliau menambah bahawa syarikat-syarikat tersebut mempunyai kewangan yang teguh, kepakaran dan pengalaman yang mencukupi serta komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik demi menjaga kebajikan jemaah haji Malaysia. TH sentiasa memantau semua PJH bermula daripada peringkat perancangan sehingga pelaksanaan bagi memastikan setiap jemaah haji mendapat perkhidmatan terbaik dan bagi mengelakkan sebarang penipuan.
Syed Hamadah turut menyatakan bahawa pemberian visa Furada dan Mujamalah kepada kumpulan tertentu adalah hak mutlak Kerajaan Arab Saudi dan ia adalah di luar kuota haji rasmi negara. Kerajaan Arab Saudi giat memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kecekapan prosedur musim haji, bagi memastikan kelancaran proses ibadat dan keselamatan para jemaah haji yang datang dari seluruh dunia.
Kes Penipuan Haji dan Umrah
Topik Furada dan Mujamalah ini menyumbang kepada statistik penipuan yang tinggi. Polis DiRaja Malaysia (PDRM), melalui Jabatan Siatan Jenayah Komersial (JSJK), melaporkan bahawa terdapat 44 kes penipuan haji dan umrah yang telah disiasat sepanjang tahun 2024. Kes-kes tersebut melibatkan nilai kerugian sebanyak RM890,810.53.

Oleh sebab itu, PDRM mengingatkan orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipuan yang ingin mengaut keuntungan. Seperti biasa, setiap kali tibanya musim haji, akan muncul segelintir pihak yang cuba membuat pelbagai tawaran visa dan pakej haji di luar kuota haji rasmi negara.
Diingatkan bahawa mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa lesen daripada TH merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
PJH dilarang promosi Visa Mujamalah dan Furada
Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan di bawah Lembaga Tabung Haji tidak dibenarkan untuk mempromosikan pakej visa mujamalah atau furada.
Haji 2025: Ini senarai 37 syarikat ada lesen tawar pakej haji
Ketua Jabatan Haji Lembaga Tabung Haji, Mohd Hisham Harun, menjelaskan bahawa larangan tersebut adalah kerana tiada ketentuan kuota untuk mendapatkan visa tersebut. Menurutnya, visa berkenaan hanya dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi kepada individu atau organisasi tertentu pada saat akhir, iaitu pada penghujung Syawal atau Zulkaedah.
Beliau turut menambah bahawa perkara ini ditekankan kepada PJH menerusi syarat-syarat yang ditetapkan bagi permohonan lesen operasi. Apabila diberikan lesen, terdapat syarat yang perlu dipatuhi, antaranya supaya visa di luar kuota Arab Saudi tidak dikeluarkan secara sesuka hati. Tanggungjawab tersebut terletak pada PJH. Sekiranya terdapat maklumat yang mencurigakan, orang ramai digalakkan membuat aduan dan TH akan mengambil tindakan berdasarkan Akta TH, di mana pelaku boleh dikenakan denda atau dipenjarakan.
Panduan Lengkap Haji 2025: Persiapan, Kursus, & Kelengkapan
Senarai Pengelola Jemaah Haji (PJH) 2025
Sebanyak 37 syarikat pelancongan tempatan, termasuklah subsidiari Lembaga Tabung Haji (LTH), telah dilantik menjadi Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk Musim Haji 2025 (1446H). Ini merupakan pertambahan daripada 25 syarikat yang dilantik pada tahun lepas. Lesen PJH diberikan kepada syarikat pelancongan yang memenuhi kelayakan dan lulus penilaian pihak LTH.
Tahun ini agak unik kerana LTH menggunakan saluran digital untuk permohonan. Sistem Agensi Haji merupakan platform digital untuk permohonan, penilaian, dan pemantauan perkhidmatan PJH dengan objektif untuk:
- Meningkatkan kualiti perkhidmatan,
- Mempercepatkan proses,
- Mempermudahkan pengawasan operasi.
Musim Haji 2025: Tarikh terbang & lokasi untuk diingat
Jadual Penerbangan Haji 2025
- Hari Wuquf: Hari Wuquf untuk musim Haji 2025 dijangka jatuh pada hari Sabtu, 5 Jun 2025.
- Penerbangan Pertama: Kebiasaannya, penerbangan haji pertama sesuatu musim akan berlepas pada 1 Zulkaedah. Bagi tahun 2025, penerbangan pertama dijangka akan berlepas pada 29 April 2025 (Selasa).
- Penerbangan Terakhir: Tabung Haji telah menetapkan penerbangan terakhir sebagai seminggu sebelum hari Wuquf. Oleh itu, untuk musim Haji 2025, penerbangan terakhir dijangka akan berlepas pada 28 Mei 2025 (Rabu).
- Penerbangan Pulang: Selepas hari Wuquf, penerbangan pulang jemaah haji akan bermula. Penerbangan pulang pertama dijangka pada 14 Jun 2025 (Sabtu) manakala penerbangan pulang terakhir dijangka berlepas pada 10 Julai 2025.
Sumber: Sinar Harian