Jompa adalah satu aplikasi baharu buatan Malaysia. Ia analisis lokasi setiap orang dan anggaran waktu perjalanan sebelum cadangkan satu titik bertemu yang adil untuk semua. Nak set tempat jumpa dalam kalangan kawan kita kadang-kadang boleh jadi kompleks. Ada yang terlalu jauh, ada yang susah nak dapatkan pengangkutan. Secara idealnya, kita nak lokasi tempat bertemu yang mudahkan semua orang.
Apa itu Jompa?
Jompa adalah perisian mencari lokasi berjumpa yang bantu kawan, keluarga, ataupun rakan sekerja tentukan tempat pertemuan sesuai berdasarkan lokasi dan tempoh perjalanan setiap ahli kumpulan.
Apa yang perlu dilakukan adalah kongsikan lokasi dan kaedah pengangkutan yang digunakan kepada Jompa. Atas sebab kerahsiaan, semua peserta tidak akan tahu lokasi semasa peserta yang lain kecuali bilakah ia akan tiba.
Jompa boleh digunakan di seluruh Malaysia dan diakses sama ada gunakan pelayar web ataupun aplikasi telefon tanpa perlu pendaftaran akaun. Ia bermakna, cari tempat lepak yang sesuai boleh dibuat dengan mudah dan pantas.

Cara guna Jompa
Daripada tutorial, nak guna Jompa mudah sahaja.
- Seorang wakil jadi hos wujudkan sesi jumpa dan kongsikan pautan jemputan kepada semua peserta.
- Setiap daripada peserta buka pautan dan masukkan lokasi dan kaedah pengangkutan.
- Jompa kira titik tengah, waktu tiba, dan sarankan beberapa lokasi perjumpaan.
- Semua peserta turunkan undi kepada lokasi yang diinginkan.
- Hos tetapkan lokasi perjumpaan.
Satu info menarik yang perlu anda tahu adalah ia tidak cari titik tengah secara geografi sahaja. Algoritma jumpa juga pertimbangkan parameter lain, contohnya trafik. Jadi, satu lokasi itu tak semestinya titik tengah antara semua orang.

Kenapa Jompa menarik
Algoritma Jompa memberi penekanan pada orang yang paling jauh untuk dia kurangkan pergerakkan. Contohnya, satu lokasi mungkin sama jauh antara dua orang. Tapi salah seorang perlukan lebih masa untuk sampai kerana jalan jem atau perlu naik pengangkutan awam.
Jadi, situasi yang seorang kawan perlu pandu kereta ke hujung dunia tak lagi releven. Ia jadikan Jompa sesuai untuk:
- kawan-kawan rancang dinner, sesi teh tarik, atau lepak hujung minggu.
- ahli keluarga yang tinggal jauh antara satu sama lain.
- pertemuan perbincangan projek vendor-client.
Perlukah anda cuba Jompa?
Tak rugi pun nak cuba Jompa sebab ia tak lambatkan anda dengan proses wujudkan akaun. Terus guna terus di Safari atau Chrome anda. Kalau anda pening nak pilih tempat lepak, inilah masanya. Tiada lagi alasan jauh ataupun jem sebab semua lokasi peserta telah diambil kira. Jom Jompa!
