Longokkan RAM di atas meja Longokkan RAM di atas meja

Apa itu MHz dalam RAM? Ini ringkasannya

Bila anda beli ataupun naik taraf RAM pada komputer, anda mesti perasan nombor macam 3200Mhz, 4800Mhz, ataupun 5600MHz. Jadi apa sebenarnya maksud MHz ini dan bagaimana ia beri kesan pada prestasi komputer?

Jom kita selami aspek teknikali pada RAM komputer anda. Senang sahaja nak faham kalau baca tips & tricks ini, walaupun anda taklah arif sangat tentang selok belok komputer.

Sebentar, apa itu RAM?

RAM adalah singkatan kepada Random Access Memory. Untuk komputer, ia adalah memori jangka pendek komputer anda sebab tugasan memori jangka panjang dipegang oleh SSD. RAM akan simpan data sementara yang ia perlu akses dengan pantas, contohnya aplikasi yang sedang anda jalankan, tab pada pelayar internet yang sedang aktif. Semua ini akan hilang bila anda padamkan aplikasi ataupun matikan komputer.

RAM dipasang di papan induk

Apa kesan MHz di RAM pada prestasi komputer?

MHz (Megahertz) merujuk kepada “juta kitaran per saat”. Dalam konteks RAM, ia beri makna, berapa pantas RAM anda boleh baca dan tulis data dalam memorinya.

1Mhz adalah 1 juta kitaran persaat. Jadi, kalau RAM anda tunjukkan angka 3200Mhz, ia bermakna 3200 juta kitaran per saat ataupun 3.2 billion kitaran bersaat RAM mampu untuk pindahkan data kepada dan daripada CPU.

Makanya, lagi tinggi angka MHz, lagi pantaslah RAM itu beroperasi.

Longokkan RAM di atas meja, ada banyak jenis.

Analogi office boy untuk MHz RAM

Cuba bayangkan komputer anda sebuah pejabat. Dalam pejabat itu ada:

  • pekerja di jabatan CPU
  • pekerja di jabatan RAM
  • office boy yang hantar dokumen antara jabatan CPU & RAM

Kelajuan office boy ulang alik antara CPU dan RAM adalah MHz. Office boy yang laju buat kerja bermakna pekerja di jabatan CPU tak perlu tunggu lama untuk terima dokumen daripada jabatan RAM.

MHz di RAM bukanlah segala-galanya, ini perkara lain perlu anda tahu

Bila pertimbangkan antara beberapa RAM, angka MHz adalah salah satu daripada beberapa perkara yang perlu anda tahu. Berikut adalah antara yang perlu anda bagi perhatian.

Kapasiti RAM (GB) – berapa banyak dokumen office boy boleh bawa

  • Kelajuan perpindahan data tak bermakna kalau kapasiti penghantaran terhad.
  • 8GB adalah kapasiti RAM minimum pada hari ini. 16GB adalah lebih afdal manakala 32GB berikan headroom lebih lapang untuk tugasan berat.

Latensi (CL Timing) – berapa pantas office boy boleh beri respons

  • Angka CAS Latency (CL Timing) yang rendah bermakna, office boy bertindak balas lebih pantas.
  • CL16 adalah lebih pantas daripada CL18 pada MHz yang sama.

DDR4 vs. DDR5 – standard terbaru vs. harga murah

DDR5 adalah standard terkini untuk modul RAM. Ia sokong CPU dan papan induk yang terkini. DDR4 adalah standard yang dah lama dalam pasaran, lebih stabil dan lebih murah.

Dual Channel – sentiasa guna 2 keping RAM

Dua keping RAM 8GB (jumlah 16GB) dalam konfigurasi dual-channel adalah lebih pantas daripada satu keping RAM 16GB.

Slot RAM di atas papan utama

Jadi, adakah MHz tinggi bermaksud prestasi tinggi?

Tidak tepat sepenuhnya. Walaupun kelajuan RAM tinggi akan beri prestasi tinggi pada komputer, ia masih bergantung pada sokongan CPU, sokongan papan induk, dan juga untuk kerja apa.

Contohnya, gamer ataupun pencipta kandungan mungkin akan rasa perbezaan prestasi bila guna RAM 3600 – 6000Mhz. Pengguna biasa seperti melayari laman web mungkin tak rasa perlahan walaupun guna RAM 2666 – 3200Mhz yang lebih murah.

Jadi, bila memilih RAM, anda boleh seimbangkan antara kelajuan (MHz) dan kapasiti (GB) bergantung kepada pola penggunaan komputer anda.

Sokong inisiatif ini:

Penghasilan kandungan bermanfaat memang mengambil masa. Anda boleh bantu laman web ini terus beroperasi dengan lakukan apa-apa sahaja pembelian melalui pautan di bawah.

Butang Shopee BukuNota tanda sokongan