PLUS Malaysia melalui anak syarikat mereka, JustGo, umumkan mereka mula ujian sistem pembayaran tol baharu. Sistem baharu ini mengguna pakai teknologi pengecaman nombor plat automatik (ANPR). Jelas menunjukkan mereka sedang persiapkan diri untuk jayakan multi-lane free flow (MLFF). Ujian ini melibatkan sektor utara Lebuhraya Utara Selatan antara Hutan Kampung dan Sungai Dua.
9 plaza tol PLUS yang ada ANPR
Menggunakan sistem baharu ini, pengguna lebuh raya boleh melalui tol plaza tanpa gunakan RFID ataupun kad TNG. Sebaliknya, caj tol akan diproses secara automatik berdasarkan nombor plat kereta menerusi aplikasi mudah alih JustGo Malaysia. Ujian ANPR ini melibatkan 9 plaza tol iaitu:
- Plaza tol Hutan Kampung
- Plaza tol Alor Setar Utara
- Plaza tol Alor Setar Selatan
- Plaza tol Pendang
- Plaza tol Gurun
- Plaza tol Bertam
- Plaza tol Sungai Petani Utara
- Plaza tol Sungai Petani Selatan
- Plaza tol Sungai Dua

JustGo Malaysia sedang menerima pendaftaran untuk sistem ANPR ini. Buat yang berminat, berikut adalah langkah yang boleh dituruti:
- Muat turun aplikasi JustGo
- Daftar kenderaan
- Pautkan kad pembayaran (kad kredit atau debit)
- Mula lalu plaza tol tanpa aksesori tambahan
Buat masa ini, palang tol masih lagi digunakan kerana laluan ANPR masih berkongsi dengna laluan kad TNG, RFID, dan SmartTag. Pengguna disarankan untuk perlahankan kenderaan pada kelajuan antara 20 – 25 km/j. Apabila semuanya dimuktamadkan, barulah palang tol akan dibuang terus.

Pembayaran terbuka, tiada monopoli MLFF: Jauh panggang dari api?
Buat yang terlepas berita, sistem MLFF sudah lama dicanang dan sebenarnya jauh terlepas daripada sasaran awal. Contohnya, dalam tahun 2022, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof katakan yang sistem MLFF akan ada kriteria seperti:
- Noktahkan monopoli Touch ‘n Go untuk pembayaran tol
- Benarkan sebarang jenis pembayaran digital
- Sokong kad kredit, debit, e-Wallet
- Hentikan pengguna kad Touch ‘n Go ataupun SmartTAG.

Visi sebenar adalah satu sistem MLFF tunggal, terbuka, dan digunakan di seluruh Malaysia. Ia mengambil inspirasi daripada negara ERP Singapura dan ETC Taiwan. Solusi asal adalah menggunakan RFID sebagai pengenalan dan ANPR sebagai sistem sokongan pengeceman. Namun, dalam tahun 2026, lain pula ceritanya.
Lebih daripada satu sistem MLFF timbul
Penghujung tahun 2025, didapati ada dua penyedia MLFF sedang cuba solusi masing-masing.
Touch ‘n Go umum mereka sedang cuba sistem MLFF yang dibangun berasaskan RFID dan ekosistem eWallet sedia ada. Sistemnya terdiri daripada pembaca RFID, ANPR dan beberapa sensor lain. Untuk pengguna sedia ada, tiada aksesori baharu diperlukan.

PLUS pula ambil pendekatan berbeza iaitu:
- Hanya guna sistem ANPR semata
- Tiada tag RFID ataupun pembaca tambahan
- Guna aplikasi mudah alih untuk pembayaran
- sokong pembyaran kad kredit/debit sahaja
Ia lantas mencetuskan soalan berikut:
- Adakah visi MLFF sistem tunggal dan terbuka hanya tinggal angan-angan?
- Adakah visi asal pulang ke meja rancangan?
Di pihak pengguna, pastinya kekeliruan boleh wujud dan yang paling tak syok adalah kena pasang lebih banyak aplikasi hanya untuk lalu plaza tol.
Inisiatif bebas monopoli PLUS sejak 2018
Ini bukan kali pertama PLUS cuba cari inisiatif cara pembayaran baharu plaza tol. 2018 dulu, PLUS cuba perkenalkan sistem RFID sendiri, sewaktu TNG juga sedang menguji TNG RFID mereka. Ketika itu, PLUS ingin buka saluran pembayaran menggunakan akaun bank, kad kredit, dan kad debit tanpa perlukan TNG eWallet.

Dua hari selepas ujian berjalan, syarikat pemilik TNG iaitu CIMB mengambil tindakan perundangan. CIMB dakwa PLUS langgar perjanjian usaha sama 1998 tentang hal kutipan tol. Hujah balas PLUS adalah mereka cuma tawarkan alternatif sebelum akhirnya menghentikan ujian mereka, CIMB menarik semula saman, dan sebab itulah TNG RFID berjaya hingga sekarang.
Perkara itu menunjukkan betapa ketatnya kawalan ke atas perkara berkaitan plaza tol di lebuh raya Malaysia. Solusi kali ini yang hanya gunakan ANPR mungkin salah satu daripada penyelesaian yang tidak melanggar perjanjian yang menjejaskan PLUS untuk cuba sistem MLFF dulu.
Walau bagaimanapun, daripada saluran Facebook rasmi JustGo, maklum balas daripada pengguna tidak melambangkan satu permulaan yang baik untuk sistem MLFF PLUS.
Respons pengguna terhadap JustGo ANPR
Himpunan komen di saluran Facebook ANPR menampakkan sentimen bercampur baur antara minat, optimis, dan kebimbangan. Ramai yang ingin ketahui maklumat seperti:
- lokasi ujian dijalankan
- adakah ujian akan diperluas ke BKE ataupun Jambatan Pulau Pinang
- sama ada SmartTAG dan RFID akan dihentikan
Ada segelintir yang dah berjaya tambat kad kepada aplikasi JustGo untuk menguji sistem itu, tak kurang juga yang mula melaporkan masalah.
Masalah pendaftaran JustGo
Banyak rungutan yang dikongsi pengguna berkisarkan kesukaran untuk lakukan eKYC, menambah kenderaan, dan masalah untuk perbetulkan maklumat peribadi yang disalah isi di dalam aplikasi mudah alih. Ia menunjukkan yang aplikasi JustGo masih perlu penambahbaikkan daripada masa ke masa.
Saluran pembayaran JustGo terhad
Buat masa ini, JustGo hanya terima pembayaran menggunakan kad kredit dan debit sahaja. Pengguna juga merungut tiada sebarang sokongan eWallet. Walau bagaimanapun, kebanyakan eWallet kini dah ada kad debit mereka tersendiri dan tiada masalah untuk gunakan wang dalam eWallet untuk bayar caj tol ANPR. Ada juga bertanyakan sekiranya ada suis yang boleh dihidup atau dimatikan sekiranya pengguna ingin bayar menggunakan saluran selain ANPR.
Kekeliruan dengan sistem pembayaran sedia ada
Dengan ANPR, RFID, dan SmartTAG yang semuanya beroperasi dalam masa yang sama, ada juga pengguna bertanyakan sama ada boleh tap kad TNG sewaktu masuk dan keluar menggunakan laluan ANPR. Mereka turut merungut mendapat notifikasi JustGo bila lalui lorong RFID. Ia lantas memerlukan operator memperjelas jenis sistem tol yang berjalan di setiap lorong.

Ketepatan bayaran dan kepercayaan
Paling serious adalah caj luar jangka dikenakan. Salah seorang komentar beritahu yang dia dicaj bayaran tol di lokasi yang tidak termasuk dalam cakupan ujian. Ia dicaj tol NKVE walaupun ujian hanya dijalankan di sektor utara PLUS. Walaupun pihak operator mengatakan setiap bayaran tol disahkan oleh Pusat Pengesahan Tol PLUS dan bayaran akan dikembalikan, namun ia menyebabkan masalah kepada pengguna dan mengambil masa untuk diselesaikan. Dengan masalah nombor plat yang tak seragam, sejauh mana tepatkah sistem ANPR boleh dipercayai?
Sumber: PLUS