BukuNota

Portal maklumat terkini Malaysia

5 Laptop Bawah RM3,000 Terbaik (2026)

Cari laptop bawah RM3,000 yang ada specs baik semakin sukar sekarang. Memang dulu RM3,000 anda boleh dapat specs pertengahan tapi kini tidak lagi khususnya bila harga komponen seperti RAM naik mendadak.

Jadi dalam artikel ini, saya senaraikan laptop bawah RM3,000 yang ada di Malaysia dengan specs terbaik pada harganya. Nak guna untuk kerja, universiti, content creator, ataupun layari laman web pun boleh untuk sekurang-kurangnya 5 tahun akan datang dengan specs ini.

Laptop terbaik bawah RM3,000 sekilas pandang

LaptopHargaCPURAMNota
HP 15 (15-fd1232TU)RM2,899Intel Core Ultra 5 125H16GB DDR5Terbaik keseluruhan
MSI Modern 14 AI (F3HMG-025MY)RM2,699AMD Ryzen AI 5 3308GB DDR5NPU AI 56 TOPS
ASUS Vivobook 16 (M1605N)RM2,699AMD Ryzen 5 1508GB DDR5Skrin terbesar
MSI Modern 14 AI (F1MG-830)RM2,599Intel Core 5 120U8GB DDR4Hayat bateri panjang
MacBook NeoRM2,999Apple A18 Pro8GB unified memoryHayat bateri terpanjang

1. HP 15 (15-fd1232TU) — Terbaik keseluruhan

Harga: RM2,899

Laptop yang seimbang antara prestasi dan harga, anda boleh cari HP 15 15-fd1232TU. Ia guna CPU Intel Core Ultra 5 125H, cip antara yang ada prestasi paling tinggi dalam kelasnya. Pada harga bawah RM3,000, anda dapat CPU 14 teras dan 18 bebenang, sesuai untuk kerja sederhana berat.

GPU laptop ini adalah jenis Intel Arc Graphics yang sepatutnya tiada masalah untuk kendalikan gaming ringan ataupun penyuntingan gambar atau video. Selain RAM 16GB, ia juga ada storan 512GB yang pada saya adalah munasabah untuk kepelruan tahun 2026 dan tahun-tahun yang akan datang.

Pelajar sesuai guna laptop ini sebab ia ada skrin besar 15.6” FHD IPS yang berikan ruang kerja luas. Saya sangat sarankan laptop ini untuk pelajar universiti kerana ia boleh teman anda sepanjang 4 tahun tempoh belajar degree dan tak mustahil boleh juga bila sambung master dan PHD.

Jisimnya 1.65kg. Walaupun taklah ringan sangat tapi masih lagi mudah alih kalau perlu bawa laptop ke kelas untuk tujuan pembentangan.

Beli HP 15 Intel Core Ultra 5 125H

2. MSI Modern 14 AI (F3HMG-025MY) — Terbaik AI

Harga: RM2,699

Laptop seterusnya adalah MSI Modern 14 AI F3HMG-025MY. MSI agak cepat untuk bawa masuk laptop dengan cip terkini ke dalam pasaran Malaysia. Kali ini Modern 14 AI guna pemproses Ryzen AI 5 330. Dalam senarai ini, laptop ini terbaik untuk AI kerana mampu proses tugasan AI sehingga 56 TOPS.

Pekerja pejabat yang banyak gunakan perisian AI sangat disarankan untuk dapatkan spesifikasi sebegini. Ia datang dengan RAM 8GB yang boleh diperluas di kemudian hari untuk tampung sehingga 32GB. Storan SSD terbina adalah 512GB, juga boleh ditukar kepada yang lebih besar jika diperlukan.

Salah satu kelebihan laptop ini adalah beratnya cuma 1.4kg. Ia antara yang paling ringan dalam senarai ini, ringan dan mudah dibawa ke mana-mana. Ia ringan disebabkan saiznya yang kecil khususnya skrin 14” FHD yang dimilikinya. Jadi anda mungkin perlukan external monitor melalui port USB-C di bahagian sisi bila perlu ruang kerja lebih luas.

Beli MSI Modern 14 AI (AMD)

3. ASUS Vivobook 16 (M1605N) — Skrin terbesar

Harga: RM2,699

Tak semua orang nak laptop kompak. Ada yang selesai dengan skrin besar. Contohnya pengguna yang banyak buka excel spreadsheet, buka dokumen tender, perjanjian, ataupun tonton Netflix dan sebagainya. Asus Vivobook 16 M1605N adalah laptop dengan skrin terbesar dalam senarai ini.

Anda layan kandungan menerusi skrin 16” WUXGA yang ada nisbah paparan tinggi 16:10. Ia lebih petak berbanding skrin lebar biasa. Atas papan utama, ia ada AMD Ryzen 5 150 dan GPU Radeon 660M. Tidaklah paling berkuasa tapi cukuplah untuk kegunaan ringan. Satu modul DDR5 8GB terpateri atas papan utama laptop ini tapi ada satu slot yang boleh digunakan untuk naik taraf RAM bila perlu.

Satu yang perlu dikorbankan untuk dapat skrin gergasi adalah ciri mudah alih. Vivobook 16 M1605N adalah yang terberat dalam senarai ini pada 1.88kg. Jadi kalau portability adalah faktor paling rendah dalam pertimbangan, ini adalah laptop untuk anda.

Beli ASUS Vivobook 16

4. MSI Modern 14 AI (F1MG-830) — Paling mampu milik

Harga: RM2,599

Satu lagi MSI Moden 14 AI masuk dalam senarai ini adalah yang diperkasa Intel Core 5 120U. CPU itu ada 10 teras yang direka untuk kerja-kerja produktiviti harian. Atas papan utama, ia ada RAM 8GB yang boleh diperluas bila ada bajet tambahan dan boleh tampung sehingga 64GB. Storan 512GB pun boleh diperluas kalau tak cukup ruang penyimpanan.

Lain-lain spesifikasi adalah sama seperti versi AMD. Ia ada skrin FHD 14” IPS dan ketahanan melepas piawiaan MIL-STD-810H. Berat laptop ini 100g lebih tinggi tapi ia masih dalam julat mudah dibawa kemana-mana.

Keupayaan AI Intel Core 5 120U tak setanding Ryzen AI 5 330. Namun, secara teorinya laptop dengan CPU Intel ini akan ada hayat bateri lebih panjang daripada CPU Ryzen kerana ia beroperasi pada kuasa lebih rendah, serendah 12W sementara CPU Ryzen pada 28W.

Yang tak gunakan ciri AI sangat ataupun yang hanya fokus pada Microsoft Office ataupun guna aplikasi di awan, MSI Modern 14 AI Intel ini sangat saya sarankan.

Beli MSI Modern 14 AI (Intel)

5. MacBook Neo 256GB — Hayat bateri terpanjang

Harga: RM2,999

Satu-satunya MacBook yang harga bawah RM3,000 adalah MacBook Neo 256GB. Itulah laluan yang perlu anda ambil kalau nak gunakan MacOS ataupun solusi lain adalah MacMini, versi desktop yang perlukan monitor dan papan kekunci/tetikus.

MacBook Neo dikuasakan Apple A18 Pro, GPU 5 teras dan NPU 16 teras. Walaupun atas kertas specsnya tidaklah menarik kerana sama macam iPhone 17, namun banyak reviu di luar sana yang memujinya. Kalau dah guna CPU ARM, hayat bateri tentulah lagi panjang, malah saya boleh jamin lebih panjang daripada semua laptop di atas ini.

13” Liquid Retina adalah saiz skrin laptop ini, paling sempit dalam senarai ini. Jadi, kalau nak lebih selesa, sebuah external monitor disarankan untuk disambung menggunakan port USB-C kiri yang sokong DisplayPort 1.4.

Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian adalah storannya cuma 256GB. Oleh sebab itu, anda perlu cari storan luaran juga untuk simpan fail-fail yang tak diperlukan. Pastinya sistem operasi Mac akan makan kira-kira 10% daripada storan dan yang tinggal adalah sekitar 200GB sahaja.

Beli MacBook Neo

Laptop bawah RM3,000 paling berbaloi?

Kalau anda nak laptop prestasi paling tinggi dalam senarai ini anda boleh cari HP 15 yang ada COre Ultra 5 125H. Ia mampu tampung tugasan kerja agak berat seprti edit video, sunting gambar, ataupun perisian aturcara.

MSI Modern 14 AI (AMD) paling mudah alih untuk vibe coder. Ia ada NPU dengan 56 TOPS yang licinkan bebanan kerja AI secara bergerak. Orang yang perlukan skrin besar untuk tengok lebih banyak info boleh usyar ASUS Vivobook 16.

MSI Modern 14 AI (Intel) berkompromi daripada segi AI untuk berikan hayat bateri panjang menerusi CPU Intel Core 5 120U. Dengan skrin 14” dan hayat bateri panjang, ini sesuai untuk digital nomad.

Akhir sekali, MacBook Neo adalah untuk yang tak boleh keluar daripada ekosistem Apple. Laptop ini juga akan ada hayat bateri paling panjang dek CPU berasaskan ARM.

Beli ikut kegunaan, bukan sekadar spesifikasi

Mahasiswa yang nak buat tugasan perlukan laptop yang spesifikasi mungkin tak sama dengan orang yang nak edit video ataupun perlu buka spreadsheet yang banyak. Jadi dalam senarai ini adalah 5 jenis laptop untuk 5 golongan tertentu yang akan tahan beberapa tahun sebelum perlu dinaik taraf.