Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalakkan rakyat Malaysia menggunakan TuJu sebagai alternatif kepada Waze, susulan kebimbangan mengenai keselamatan data dan maklumat pergerakan pengguna. Untuk info anda, TuJu adalah aplikasi navigasi hasil tangan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Namun begitu, ramai katakan yang TuJu masih belum menawarkan pengalaman semantap aplikasi navigasi terkenal Waze ataupun Google Maps. Jika anda sedang cari aplikasi navigasi selain Waze, berikut adalah empat aplikasi alternatif Waze yang boleh anda usyar.
1. HERE WeGo — Alternatif Waze Yang Lebih Lengkap

HERE WeGo adalah aplikasi navigasi alternatif untuk Waze yang tawarkan pengalaman paling hampir dengan Waze. Ia percuma dan menyokong navigasi pemanduan motokar turn-by-turn, berjalan kaki, berbasikal dan pengangkutan awam.
Pengguna boleh lakukan proses merancang perjalanan jika melibatkan lebih daripada satu hentian dan ia akan berikan amaran had laju jika anda pandu melebihi tahap yang dibenarkan. Ciri peta luar talian juga ada jika pengguna tidak memiliki capaian internet, sesuai diguna ketika melancong.
Jika anda mencari aplikasi navigasi terbaik selain Waze yang masih mempunyai pelbagai ciri navigasi moden, HERE WeGo merupakan pilihan yang agak seimbang.
Asal: Belanda
2. OsmAnd — Untuk Privasi Dan Navigasi Luar Talian

Buat pengguna yang perlukan aplikasi dengan tahap kerahsiaan tinggi, OsmAnd merupakan pilihan menarik sebagai aplikasi navigasi selain Waze di Malaysia. OsmAnd utamakan penggunaan luar talian dan petanya mengguna pakai sumber terbuka OpenStreetMap.
Satu kelebihan utamanya adalah proses pengiraan routing dilakukan terus di dalam peranti tanpa libatkan server di awan. Tanpa sambungan internet, pengguna masih boleh dapat navigasi turn-by-turn. Pendekatan ini menjadikannya pilihan untuk pengguna yang mencari alternatif Waze untuk privasi data.
OsmAnd juga mempunyai banyak tetapan dan pilihan pemetaan. Namun, ini bermakna ia mempunyai keluk pembelajaran yang lebih tinggi berbanding aplikasi seperti Waze.
Asal: Belanda
3. CoMaps — Untuk Navigasi Sumber Terbuka Dan Privasi

Satu lagi aplikasi seperti Waze untuk navigasi tetapi yang pentingkan privasi adalah CoMaps kerana ia adalah perisian sumber terbuka dan anda bebas periksa kod aturcaranya. Aplikasi navigasi percuma ini juga gunakan data OpenStreetMap dan boleh diguna tanpa sambungan Internet.
Berbanding Waze, CoMaps tidak dibina berasaskan ekosistem navigasi sosial jenis crowdsource. Sebaliknya, ia memberi tumpuan kepada pemetaan luar talian, ketelusan dan pembangunan berasaskan komuniti. CoMaps bukan pengganti Waze untuk Malaysia secara total kerana ia tiada laporan trafik masa nyata.kejadian jalan raya secara masa nyata.
Asal: Projek sumber terbuka dan berasaskan komuniti
4. TomTom — Untuk Pemandu Yang Mahukan Maklumat Jalan Raya Terperinci

Satu lagi calon aplikasi navigasi terbaik untuk Malaysia dengan fokus pemanduan motokar adalah TomTom dan ia sudah lama bertapak dalam industri navigasi. Aplikasi TomTom menyediakan navigasi turn-by-turn bersama maklumat trafik masa nyata, serta amaran mengenai bahaya jalan raya, kerja pembinaan, penutupan jalan dan keadaan jalan yang kurang baik.
Teknologi navigasi TomTom disokong oleh jumlah data pemanduan yang besar. Syarikat itu dakwa pangkalan datanya dikemas kini dengan sehingga 6 bilion kilometer data perjalanan setiap hari. Bagi pengguna Android yang memiliki kenderaan elektrik, aplikasi ini turut menawarkan navigasi khusus EV, termasuk lokasi pengecas dan tempat letak kereta.
Peta TomTom pula meliputi lebih daripada 235 negara dan wilayah, dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam teknologi navigasi.
Asal: Belanda
Jadi, Mana Satu Alternatif Waze Yang Patut Anda Pilih?
Jika anda sedang mencari alternatif kepada Waze di Malaysia, pilihan terbaik bergantung kepada ciri yang paling penting untuk anda.
- HERE WeGo sesuai jika anda mahukan aplikasi serba lengkap dengan trafik masa nyata, peta luar talian dan sokongan untuk pelbagai jenis pengangkutan.
- OsmAnd pula lebih sesuai untuk pengguna yang mengutamakan privasi, navigasi luar talian dan peta yang sangat terperinci.
- CoMaps menarik bagi mereka yang mahukan perisian sumber terbuka serta navigasi luar talian yang mengutamakan privasi.
- TomTom pula patut dipertimbangkan jika maklumat pemanduan terperinci, data trafik dan amaran bahaya jalan raya menjadi keutamaan.
Tapi, kalau anda tersangat patriotik dan nak guna aplikasi navigasi buatan Malaysia, TuJu masih merupakan pilihan yang paling jelas. Ia menawarkan ciri khusus lebuh raya seperti semakan caj tol, kawasan rehat dan rawat (R&R), stesen minyak, kamera lebuh raya serta maklumat trafik.
