Kursus Asas Haji Siri 4 membincangkan rukun haji keempat iaitu Sa’ie, Bercukur/Bergunting dan Tertib. Jemaah akan pelajari tiga rukun Haji yang terakhir beserta syarat-syarat sah, amalan sunat, dan tatacaranya.
Muat turun PDF Kursus Asas Haji Siri 4
Himpunan Nota Kursus Asas Haji 2026
Rukun Haji Ke-4: Sa’ie
Rukun Haji ke-4 ialah Sa’ie, iaitu berjalan ulang-alik sebanyak tujuh (7) kali di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah. Antara syarat sah Sa’ie termasuklah:
- Dilakukan selepas Tawaf yang sempurna, iaitu Tawaf Qudum bagi Haji Ifrad/Qiran atau Tawaf Ifadhah bagi Haji Tamattu’.
- Bermula dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah.
- Sampai ke kaki kedua-dua bukit pada setiap pusingan.
- Cukup tujuh (7) pusingan dengan yakin.
- Mengekalkan niat Sa’ie.
Kawasan Sa’ie bukannya kawasan masjid. Oleh itu, tiada solat sunat Sa’ie atau Sa’ie sunat, dan wanita yang sedang haid dibenarkan berada di kawasan tersebut. Amalan sunat Sa’ie merangkumi berwuduk, menghadap Kaabah sambil bertakbir di Safa dan Marwah, dilakukan secara berturut-turut (muwalat), serta berlari-lari anak (raml) bagi lelaki di kawasan yang ditandakan dengan lampu hijau.
Rukun Ke-5: Bercukur atau Bergunting
Rukun Haji ke-5 ialah Bercukur atau Bergunting, iaitu menanggalkan sekurang-kurangnya tiga (3) helai rambut di kepala. Bercukur adalah lebih afdhal bagi lelaki, manakala jemaah lelaki yang botak licin disunatkan melalukan mata pisau di atas kepala.
Waktunya bermula selepas separuh malam 10 Zulhijjah tanpa waktu luput, dan afdhal dilakukan selepas melontar Jamrah Kubra. Jemaah wanita pula wajib memelihara aurat semasa bergunting.
Rukun Ke-6: Tertib pada Kebanyakan Rukun
Rukun Haji ke-6 ialah Tertib pada Kebanyakan Rukun, yang bermaksud susunan rukun tidak disyaratkan secara mutlak bagi kesemua rukun. Jemaah wajib mendahulukan Niat Ihram sebelum rukun lain, Wuquf sebelum Tawaf Ifadhah, serta Tawaf sebelum Sa’ie.
Walau bagaimanapun, keharusan diberikan bagi Haji Ifrad dan Qiran untuk mendahulukan Sa’ie selepas Tawaf Qudum, atau bercukur selepas Wuquf sebelum Tawaf Rukun.
