Dalam minggu 6 Kursus Asas Haji, jemaah akan belajar lebih mendalam perilah wajib haji. Mereka akan belajar tatacara melontar Jamrah Kubra, konsep Tahallul, bermalam (Mabit) di Mina, melontar ketiga-tiga Jamrah pada hari-hari Tasyriq, serta pilihan Nafar Awwal ataupun Nafar Thani.
Muat turun PDF Kursus Asas Haji Siri 6
Himpunan Nota Kursus Asas Haji 2026
Melontar Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah
Ibadat ini merupakan Wajib Haji ke-4 yang dilakukan pada Hari Nahar. Syarat sahnya memerlukan tujuh (7) biji anak batu dilontar satu persatu menggunakan tangan dengan gaya lontaran, serta yakin batu tersebut masuk ke dalam takungan Jamrah. Waktunya bermula selepas separuh malam 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari 13 Zulhijjah, dengan waktu afdhal pada waktu Dhuha.
Tahallul Awwal dan Tahallul Thani
Tahallul ialah pelepasan daripada larangan ihram. Tahallul Awwal terjadi apabila jemaah menyempurnakan dua daripada tiga amalan berikut:
- Melontar Jamrah Kubra.
- Bercukur atau bergunting.
- Tawaf dan Sa’ie.
Tahallul Awwal membebaskan jemaah daripada 10 daripada 13 larangan ihram, kecuali persetubuhan, pendahuluan persetubuhan dan nikah. Tahallul Thani terhasil selepas jemaah melaksanakan amalan ketiga yang masih berbaki, sekali gus membebaskan jemaah daripada kesemua larangan ihram.
Mabit di Mina dan Melontar pada Hari Tasyriq
Wajib Haji ke-5 memerlukan jemaah berada di Mina melebihi separuh malam pada malam 11, 12 dan 13 Zulhijjah, dengan pengecualian bagi jemaah yang uzur, sakit atau berdepan keadaan kawasan yang terlalu padat. Wajib Haji ke-6 pula ialah melontar ketiga-tiga Jamrah, iaitu Jamrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra, mengikut tertib pada Hari-hari Tasyriq dengan 21 biji anak batu sehari. Jemaah yang uzur dibenarkan mewakilkan lontaran (wakalah) kepada orang lain.
Nafar Awwal dan Nafar Thani
Nafar Awwal membenarkan jemaah keluar lebih awal dari Mina pada 12 Zulhijjah sekiranya telah menyempurnakan lontaran dan mabit selama dua hari serta keluar sebelum terbenam matahari. Nafar Thani pula adalah pilihan untuk jemaah kekal bermalam dan meneruskan ibadat melontar hingga 13 Zulhijjah.
