Kursus Asas Haji Siri 3 mempunyai tajuk “Rukun Haji: Niat Ihram, Wuquf dan Tawaf”. Topik ini memperincikan definisi hukum, tatacara ibadat, dan syarat-syarat sah bagi ibadat Haji. Di bawah adalah rumusan tentang apa yang akan dipelajari dalam Siri 2 ini dan untuk maklumat lanjut, sila muat turun nota Rukun Haji: Niat Ihram, Wuquf dan Tawaf.
Rukun Haji: Niat Ihram, Wuquf dan Tawaf
Himpunan Nota Kursus Asas Haji 2026
Rukun Haji dan Wajib Haji
Pelajaran dimulakan dengan perbezaan antara Rukun Haji dan Wajib Haji. Rukun Haji ialah perkara asas yang mesti dilaksanakan. Jika ditinggalkan, haji seseorang tidak sah dan jemaah tetap terikat dengan larangan ihram.
Enam (6) Rukun Haji merangkumi:
- Niat Ihram Haji
- Wuquf di Arafah
- Tawaf di Kaabah
- Sa’ie antara Bukit Safa dan Marwah
- Bergunting atau bercukur rambut
- Tertib pada kebanyakan rukun
Sebaliknya, Wajib Haji ialah perkara yang wajib dilakukan. Jika ditinggalkan, haji tetap sah tetapi dikenakan dam dan berdosa jika sengaja ditinggalkan.

Tiga Rukun Haji yang Diperincikan
Kemudian, jemaah juga diberikan panduan terperinci mengenai tiga rukun pertama:
1. Niat Ihram Haji
Niat Ihram Haji merupakan kehendak (qasad) hati untuk mengerjakan haji. Melafazkan niat adalah sunat dan niat hendaklah dilakukan di miqat atau sebelumnya.
2. Wuquf di Arafah
Wuquf di Arafah ditegaskan sebagai asas utama dan rukun haji yang terpenting.
Syarat sahnya memerlukan jemaah telah berihram dengan niat haji, berada dalam keadaan berakal serta tidak gila, pengsan atau mabuk, dan berada di Arafah walaupun seketika dalam tempoh bermula gelincir matahari 9 Zulhijjah hingga terbit fajar 10 Zulhijjah.
Amalan sunat semasa wuquf termasuk sentiasa berwuduk, bertalbiah, berdoa, berzikir, dan membaca al-Quran.
3. Tawaf di Kaabah
Tawaf ditakrifkan sebagai mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh pusingan.
Syarat sah tawaf mewajibkan jemaah menutup aurat, suci daripada hadas besar dan kecil serta najis, bermula dan berakhir di sudut Hajar al-Aswad, menjadikan Kaabah di sebelah kiri, berada di luar Kaabah, Hijr Ismail dan Syazarwan, serta melengkapkan tujuh pusingan dengan yakin.
Selain itu, Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan memberi kelonggaran (masyaqqah) dalam isu wuduk sekiranya berlaku persentuhan tanpa lapik antara lelaki dan wanita akibat kesesakan.
