Sampai ke minggu 5 Kursus Asas Haji, jemaah akan belajar tentang wajib-wajib Haji. Antara topik yang akan disentuh adalah seperti enam amalan wajib Haji, syarat miqat, 13 larangan ihram, mabit di Muzdalifah, serta konsep dan jenis-jenis denda (dam).
Muat turun PDF Kursus Asas Haji Siri 5
Himpunan Nota Kursus Asas Haji 2026
Enam Wajib Haji
Wajib Haji didefinisikan sebagai perkara yang wajib dilaksanakan ketika mengerjakan Haji. Jika ditinggalkan, Haji tetap sah tetapi dikenakan dam dan berdosa jika dilakukan secara sengaja. Sebanyak enam (6) perkara tergolong sebagai Wajib Haji, iaitu:
- Berniat ihram di miqat.
- Meninggalkan larangan ihram.
- Bermalam (mabit) di Muzdalifah.
- Melontar Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah.
- Bermalam (mabit) di Mina.
- Melontar ketiga-tiga Jamrah pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Niat Ihram di Miqat
Miqat terbahagi kepada Miqat Zamani, iaitu ketentuan masa dari 1 Syawal hingga terbit fajar 10 Zulhijjah, dan Miqat Makani, iaitu sempadan tempat seperti Zu al-Hulaifah/Bi’r Ali, Qarn al-Manazil serta hotel atau penginapan di Makkah. Berniat selepas melepasi Miqat Makani mewajibkan bayaran dam.
Meninggalkan Larangan Ihram
Jemaah wajib menjauhi 13 larangan ihram yang merangkumi kategori taraffuh (berhias atau berseronok seperti memakai wangian, memakai pakaian bersarung bagi lelaki, dan menutup muka bagi wanita) serta itlaf (merosakkan seperti memotong kuku, memburu binatang atau menebang pokok). Melanggar larangan ini secara sengaja mengakibatkan dosa dan dikenakan dam.
Mabit di Muzdalifah
Jemaah diwajibkan berada di bumi Muzdalifah sekurang-kurangnya seketika, bermula dari separuh malam 10 Zulhijjah sehingga sebelum terbit fajar.
Pengertian dan Jenis Dam
Dam dari segi syarak ialah ibadat gantian berupa penyembelihan binatang ternakan (al-An’am) atau gantinya seperti bersedekah makanan atau berpuasa. Sebab diwajibkan dam termasuk melanggar larangan ihram, meninggalkan Wajib Haji, atau mengerjakan Haji Tamattu’ dan Qiran. Dam dikategorikan kepada empat jenis utama:
- Dam Tertib & Taqdir
- Dam Tertib & Ta’dil
- Dam Takhyir & Taqdir
- Dam Takhyir & Ta’dil
