Beijing adalah ibu negara China. Bandaraya ini kaya sejarah dan antara yang termoden juga. Daripada mercu tanda seperti Tembok Besar (Great Wall), Kota Larangan (Forbidden City), hinggalah ke kancah modenisasi abad ke-21, Beijing ada semua dalam satu. Kalau anda nak satu lokasi yang ada intipati sejarah purbakala yang berharmoni dengan teknologi canggih, lokasi ini adalah jawapannya.
Berikut adalah panduan komprehensif untuk anda yang bercadang untuk melawat Beijing.
Berikut adalah isi kandungan panduan ini.
- Dua lapangan terbang antarabangsa Beijing
- Sistem Beijing Metro tren bawah tanah yang berselirat
- Ju Bao Yuan: Pengalaman hotpot halal Beijing di Niu Jie
- Masjid Niu Jie: Rumah ibadat Islam terbesar dan tertua Beijing
- Tembok Besar China: Mutianyu dan Simatai
- Gubei Water Town: Replika Wuzhen dan paling Instagrammable
- Beijing Forbidden City: Sakit kaki, puas hati
- Jalan raya Beijing terdiri daripada lingkaran
- Beijing jalinkan tradisional dengan moden
- Beijing: Indah rupa daripada khabar
- Rujukan berguna ke Beijing
Dua lapangan terbang antarabangsa Beijing
Beijing miliki dua lapangan terbang antarabangsa. Beijing Capital International Airport (PEK) adalah yang paling sibuk dalam kalangan dua itu. Ia terletak 32km di utara Beijing.

Lokasi kedua adalah Beijing Daxing International Airport (PKX) dan lokasinya adalah 46km di selatan Beijing. Jadi bergantung kepada penerbangan anda, salah satu lokasi ini bakal jadi pintu masuk/keluar anda.

Kami, misalnya, terbang dengan Singapore Airlines, masuk di PEK dan keluar di PKX.
The Jewel dan makan murah di Changi Airport
Pintu masuk kami adalah di PEK dan terbang pulang melalui PKX. Untuk Singapore Airlines, akan ada transit di Changi Airport. Tidaklah kami lepaskan peluang untuk lawati tarikan utama The Jewel iaitu air terjun indoor paling tinggi di dunia. Untuk lawatinya, kami ambil tren percuma yang menghubungkan Terminal 3 dan Terminal 2. Laluan itu akan tembusi The Jewel dan lewati air terjun tersebut.

Selain air terjun, transit 5 jam juga dimanfaatkan untuk makan. Ramai yang sarankan staff canteen (kantin staf) untuk pilihan yang lebih murah berbanding makanan di dalam balai berlepas. Akses kantin staf memerlukan kami keluar daripada balai berlepas melalui imigresen. Ia terletak di Terminal 1 di aras B1.

Kantin staf adalah sebuah medan selera yang ada banyak kedai. Sebagai panduan, outlet yang jual makanan halal adalah yang menggunakan pinggan dan mangkuk berwarna hijau. Selesai makan, jangan lupa untuk pulangkan ke stesen khas yang bertanda halal.

Sistem Beijing Metro tren bawah tanah yang berselirat
Beijing Metro adalah sistem transit aliran ringan bawah tanah yang sangat efisien. Ia terdiri daripada 29 laluan dan 522 stesen, menjadikannya antara sistem metro paling sibuk di dunia. Purata pengguna hariannya adalah lebih 10 juta.

Kadar bayarannya tak mahal. Perjalanan kurang daripada 6km dikenakan CNY3 dan kadar maksimum adalah CNY18, tidak termasuk kalau nak pergi lapangan terbang. Cara paling mudah untuk bayar tambang Beijing Metro ataupun bas adalah gunakan aplikasi AliPay.


Kedua-dua lapangan terbang antarabangsa, PEK dan PKX, ada servis train yang bawa anda hampiri pusat bandar Beijing. Kami yang tiba tengah malam memilih untuk gunakan servis airport transfer yang ditempah melalui Agoda. Cadangan perjalanan boleh didapati menggunakan aplikasi Apple Maps. Fungsi navigasi dan saranan laluan hanya berfungsi bila anda berada dalam negara China.

Buat pengguna di luar China yang nak buat rancangan, mereka boleh gunakan aplikasi percuma macam Metroman. Ia ada untuk platform Android dan juga iOS.
Ju Bao Yuan: Pengalaman hotpot halal Beijing di Niu Jie
Niu Jie adalah kejiranan terkenal untuk penduduk Beijing dapatkan bekalan makanan halal. Barangan kering dan basah semuanya boleh didapati di sini. Jadi hari pertama di Beijing kami isi dengan dapatkan roti dan kopi 3-dalam-1 untuk simpanan.
Niu Jie juga terkenal dengan tempat makan hotpot halal bernama Ju Bao Yuan (Google Maps).
Lokasi ini memang sesak. Sistem nombor giliran digunakan untuk tempahan. Untuk pengunjung pertama kali, nak tempah meja agak tricky. Helahnya adalah dengan gunakan WeChat dan imbas kod QR yang disediakan.

Tak perlu wujudkan akaun baharu pun sebab maklumat WeChat akan digunakan. Nombor giliran akan dipaparkan di pintu masuk.

Sementara menunggu, kami buat tempahan di aplikasi yang sama. Antara muka mini-program WeChat untuk Ju Bao Yuan memang berbahasa Mandarin tapi ada fungsi terjemahan bantu kami fahami menu.

Kalau makanan yang dipratempah tak cukup, tambahan makanan masih boleh dibuat. Malah, pembayaran pun boleh dibuat dengan WeChat kerana kami dah tambat kad kredit pada aplikasi WeChat. Resit digital pula akan terus dihantar ke aplikasi untuk rujukan kami.

Konsep Qing Zhen untuk makanan halal di Beijing
“Qing Zhen” (清真) adalah konsep yang kini diguna untuk merujuk pada makanan halal di China. Ia adalah gabungan perkatan “Qing” yang bermaksud “bersih” dan “suci” dengan perkataan “Zhen” yang membawa maksud “benar” dan “tulen”.

Sewaktu cari kedai makan, papan tanda yang paparkan perkataan ini menunjukkan ia adalah lokasi yang ada tawarkan makanan halal. Untuk produk makanan di pasaraya ataupun kedai runcit, pelekat Qing Zhen juga ada.

Masjid Niu Jie: Rumah ibadat Islam terbesar dan tertua Beijing
Hari pertama di Beijing kami disudahi dengan lawatan ke Masjid Niu Jie (Google Maps).

Ini adalah masjid terbesar dan tertua di Beijing. Malangnya, sewaktu lawatan, ruang solat utama sedang dinaik taraf. Solat fardhu ditunaikan di ruang solat sementara yang terletak di pintu sisi masjid.

Rumah ibadat Islam ini dibina dalam tahun 996 sewaktu Dinasti Liao. Bangunan ini pernah rosak diserang Genghis Khan sebelum dibina semula dalam tahun 1443. Peluasan masjid juga pernah berlaku sewaktu era Dinasti Qing awal kurun ke-18.

Seramai 1,000 orang boleh dimuatkan pada satu-satu masa di dalam masjid ini.
Tembok Besar China: Mutianyu dan Simatai
Hari kedua dan keempat kami isi dengan lawatan ke dua lokasi Tembok Besar China. Lokasi pertama adalah di Mutianyu dan lokasi kedua terletak di Simatai. Ini adalah dua lokasi wajib dilawati sekiranya anda melawat Beijing.

Tembok ini dibina sewaktu Dinasti Ming untuk halang serangan puak nomad dan kini bertukar jadi destinasi pelancongan dengan pemandangan mengujakan dan nilai sejarah tinggi.
Tembok Besar China: Mutianyu
Lawatan berpandu kami tempah menerusi Klook untuk permudah aspek logistik dan perjalanan daripada pusat bandar Beijing ke Mutianyu mengambil masa kira-kira 1.5 jam.

Ketika musim sejuk, pelawat tembok besar di Mutianyu ini agak kurang jadi tempat itu taklah sesak. Itu kelebihannya, tapi untuk kekurangan, cuaca di sana berangin dan sejuk. Maka, sediakanlah pakaian yang bersesuaian.

Tembok Besar Mutianyu dibahagikan kepada dua seksyen, timur dan barat. Seksyen barat lebih terkenal, ramai VIP yang lawatinya, disebabkan pemandangan cantik daripada Tower 14 hingga ke Tower 20. Sekyen timur pula ada tarikan menarik macam kereta kabel gondola terbuka dan gondola. Pengunjung boleh pergi dua-dua seksyen kalau cukup masa. Kalau tak, seksyen timur sudah cukup.

Tiket masuk boleh dibeli secara dalam talian. Ada tiga jenis tiket perlu diberi perhatian:
- tiket masuk Tembok Besar China Mutianyu
- tiket dua hala kereta kabel seksyen barat.
- tiket dua hala kereta kabel seksyen timur.
Perlu diingatkan yang tiket kereta kabel untuk sesuatu seksyen hanya boleh digunakan di seksyen itu sahaja sebab servis kereta kabel dikendalikan syarikat berbeza.
Tempah lawatan ke Temboh Besar China Mutianyu di Klook.
Tembok Besar China: Simatai
Satu lagi Tembok Besar China yang dilawati kami ialah di Simatai. Beza tembok Simatai dengan Mutianyu adalah ia dikatakan mengekalkan rekaan asal daripada Dinasti Ming. Jadi, anda akan dapati yang keadaan temboknya agak lusuh dan kurang pemuliharaan. Tembok Simatai kurang terkenal berbanding Mutianyu tapi pemandangannya tak kurang hebat.

Perkhidmatan kereta kabel ada disediakan dan kami ambilnya untuk pergi ke atas. Apabila di atas sana, perlu berjalan sedikit untuk tiba ke menara pertama. Laluannya bercabang dua. Laluan yang singkat tapi curam bawa kami ke Tower 8. Sebaliknya, laluan yang landai dan rata menghala ke Tower 5.

Sebenarnya tembok Simatai adalah entri sampingan kerana tarikan utama adalah Gubei WTown yang terdapat di kaki gunung tempat tembok Simatai berada.
Tempah lawatan ke Tembok Besar China Simatai di Klook.

Gubei Water Town: Replika Wuzhen dan paling Instagrammable
Hebatnya China, mereka boleh bina sebuah replika pekan yang nampak sebenar, siap dengan rupa lusuh.


Sewaktu tiba di Gubei Water Town (WTown), kami sangka ia memang sebuah pekan tradisional namun sebaliknya ia adalah pekan yang dibangunkan khas untuk pelancongan, siap dengan hotel dan resort ski.

Gubei Wtown mengambil inspirasi daripada pekan tepi sungai Wuzhen yang letaknya di timur Beijing. Tempat ini sangat cantik dan sangat banyak spot gambar cantik. Lokasi makanan Qing Zhen ada dua. Cumanya tempat solat tiada. Namun disebabkan kawasannya yang lapang, banyak tempat boleh dibentangkan sejadah.

Kami lawat Gubei WTown sewaktu musim sejuk. Jadi, sungai yang membelah pekan berada dalam keadaan beku. Sekiranya tidak, salah satu tarikan menarik pekan ini adalah menaiki bot dari hujung ke hujung. Disebabkan beku, sungai dijadikan gelanggang gelungsur pula.

Pekan air ini sangat besar dan peta sangat diperlukan untuk tak sesat dan rugikan masa. Sekurang-kurangnya sehari suntuk diperlukan untuk menjelajah ke seluruh pelosok kawasan ini. Pada waktu malam kira-kira 7:00 malam, pertunjukkan air pancut diadakan di perkarangan pekan dan diikuti dengan pertunjukkan dron. Semuanya selesai sekitar jam 8:00 malam.


Tempah lawatan ke Gubei WTown di Klook.
Beijing Forbidden City: Sakit kaki, puas hati

Kota Larangan Beijing adalah lokasi yang wajib dilawati. Hari melawat Forbidden City kami selitkan antara Hari ke-2 (Mutianyu) dengan hari ke-4 (Gubei/Simatai) disebabkan lokasi Forbidden City yang sangat hampir dengan tempat tinggal dan ingin rehatkan kaki selepas mendaki Mutianyu.

Sejak tahun 2011, pihak pengendali muzium ini kuat kuasakan konsep satu pintu masuk dan satu pintu keluar. Pintu masuk yang ditetapan adalah di bahagian paling selatan dikenali sebagai Wu Men (Meridian Gate).

Tiket pula boleh dibeli secara dalam talian dan tiada tiket fizikal diberikan sebaliknya passport akan diimbas sebagai tiket.

Satu perkara yang perlu diingatkan adalah, apa-apa kayu selfie atau tripod yang melebihi 130cm tidak boleh dibawa masuk disamping barang-barang berbahaya lain seperti pisau dan pemetik api.

Kami perlu tinggalkannya di luar, di kaunter khas dan ia sangat menarik sebab barangan itu akan dibawa ke pintu keluar. Jadi, kami tak perlu kembali ke Meridian Gate untuk tuntutnya. Kaunter khas itu letaknya di bangunan bahagian kiri kalau menghadap ke pintu Wu Men.

Kota ini tersangat luas. Lawatan berpandu disediakan dengan sedikit bayaran. Tapi mereka sediakan juga peta cadangan laluan yang tembusi pintu-pintu gerbang utama dan melawat kuaters-kuaters kakitangan kerajaan purba pada waktu itu.

Mungkin lokasi yang terlalu Feng Shui, angin memang kuat di dalam Forbidden City. Sila pakai pakaian yang tebal kalau melawatnya dalam waktu sejuk. Bagusnya, musim sejuk khalayaknya kurang.

- Tempah tiket secara dalam talian di The Palace Museum
- Tempah tiket beserta pemandu pelancong di Klook

Jalan raya Beijing terdiri daripada lingkaran
Perancangan bandaraya Beijing berpusatkan Kota Larangan. Ia dikelilingan beberapa laluan lingkaran yang direka untuk mengoptimumkan trafik bermotor. Pun begitu, kesesakan jalan raya tetap berlaku.

- Ring Road 1: Lingkaran asal yang kini menjadi sebahagian daripada perkarangan Forbidden City
- Ring Road 2: Disiapkan dalam tahun 1980-an
- Ring Road 3: Disiapkan dalam tahun 1990-an
- Ring Road 4: Disiapkan dalam tahun 2000
- Ring Road 5: Dibuka dalam tahun 2003
- Ring Road 6: Beroperasi dalam thaun 2009
- Ring Road 7: Dibuka dalam tahun 2018.

Jadi dalam setiap lingkaran itu, anda dapat lihat perubahan rekaan bagunan dan senibina. Contohnya, dalam Ring Road 3 dan ke dalam, di sinilah kediaman tradisional macam anda tengok dalam cerita China boleh ditemukan. Anda akan dapati banyak jalan dan lorong ada perkataan Hu Tong.

Ia adalah kaedah perancangan bandar tradisional Beijing yang mengguna pakai grid untuk bangunkan rumah. Banyak bangunan gunakan batu bata kelabu, pintu kayu, dan rekaan seakan dama. Hu Tong diasaskan sejak Dinasti Yuan, kemudian diteruskan ke Ming dan akhirnya Qing sebelum sistem dinasti China runtuh.

Kini, Hu Tong perlahan-lahan memberi laluan kepada modenisasi. Misalnya, hotel base-Lofusi yang kami duduki adalah sebahagian daripada Qian Liang Huton. Satu lagi pembangunan berhampiran iaitu Lofusi Hu Tong mengandungi pusat-pusat beli belah yang moden dan hipster.

Beijing jalinkan tradisional dengan moden
Walaupun pada pandangan mata, Beijing masih kekalkan landskap tradisional terutamanya kalau anda berada dalam Ring Road 3, namun pentadbir menjalinkan unsur moden dengan baik.

Paling gempak adalah aplikasi AliPay dan WeChat yang kegunaannya lebih luas yang anda sangka. Dengan aplikasi itu, kami boleh naik bas, metro, panggil teksi, sewa basikal, tempah makanan.

Kalau di Malaysia, semuanya perlukan kita pasang aplikasi khas, wujudkan akaun. Memang renyah. Di Beijing, maklumat yang anda sahkan di AliPay dan WeChat akan digunakan untuk aplikasi-aplikasi pihak ketiga.

Beijing peragakan kehidupan IoT yang sebenar. Kami boleh lihat kesesakan di HeyTea, outlet untuk beli minuman berhampiran tempat kami tinggal. Tempah minuman terus di situ, bayar, dan lihat status penyediaan, semuanya secara masa nyata.

Satu lagi benda yang kami saksikan adalah robot penghantar di lobi tempat tinggal kami. Ia cukup bijak untuk panggil lif, pilih tingkat mana yang ingin ia pergi dan terus ke muka pintu bilik. Jadi penghantar makanan tak perlu naik ke atas, cukup sekadar masukkan tempahan ke ruang yang disediakan.

Beijing: Indah rupa daripada khabar
Lawatan ke Beijing merubah perspektif kami terhadapnya. Khabar angin yang sering didengari adalah ludah merata-rata, orangnya bising kurang ajar dan kasar, malah busuk dimana-mana. Tapi semuanya tidaklah benar.
Setakat keberadaan di Beijing, belum ada yang mencemuh kami kerana tidak pandai berbahasa Cina sewaktu memesan makanan. Malah ada yang ajar kami cara untuk tempah giliran di restoren hotpot Niu Jie. Tandasnya bersih dan tandas awam dimana-mana.
Bandaraya Beijing secara asasnya sangat sunyi. Hanya kedengaran bunyi tayar bergolek kerana hampir semua yang kami nampak adalah EV. Kadang-kadang bunyi hon kenderaan untuk beri amaran, tiada pula orang menjerit.
Rujukan berguna ke Beijing
Untuk itinerari, hubungi kami di sini.
Sementara itu kalau anda sendang bersiap-siap untuk tunaikan haji, berikut adalah panduan komprehensif haji & umrah.